Penternak digesa kawal haiwan ternakan, elak bahayakan pengguna jalan raya
Bernama
Januari 11, 2025 16:00 MYT
Januari 11, 2025 16:00 MYT
KUALA SELANGOR: Penternak digesa mengawal haiwan ternakan daripada berkeliaran di kawasan jalan raya berikutan laporan kematian yang tinggi akibat kemalangan membabitkan binatang peliharaan atau ternakan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata berkata mereka yang masih degil bakal berdepan tindakan sewajarnya menurut peruntukan akta telah ditetapkan.
"... harap para penternak jangan lagi melepaskan haiwan mereka seperti dahulu. Kena faham dan kerajaan menerusi agensi tertentu boleh bertindak berdasarkan akta yang berkaitan," katanya selepas melawat tapak Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan PKPS di Selangor Fruit Valley di sini hari ini.
Beliau berkata penternak boleh mencari cara baharu antaranya dengan melepaskan ternakan di kawasan ladang yang dikawal supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya khususnya di kawasan luar bandar.
Sebelum ini, Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata 109 pengguna jalan raya maut di seluruh negara disebabkan haiwan peliharaan atau ternakan sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata dalam tempoh itu, sebanyak 14,560 kes kemalangan membabitkan haiwan liar, haiwan peliharaan dan ternakan dicatatkan di seluruh negara dengan 13,877 kes kemalangan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.
-- BERNAMA