Penternak ayam tidak nikmati subsidi mulai 1 Julai, bantuan terus kepada B40 - PM

Hasimi Muhamad
Jun 1, 2022 17:45 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan tersebut diberikan bagi mengurangkan bebanan kenaikan ayam. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Mulai 1 Julai ini, kerajaan tidak lagi memberikan bantuan subsidi kepada penternak-penternak ayam, sebaliknya menyalurkan bantuan tunai secara terus kepada golongan B40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan tersebut diberikan bagi mengurangkan bebanan kenaikan harga barangan, termasuk ayam.
Jelas beliau, kerajaan telah membelanjakan RM720 juta untuk memastikan harga ayam tidak dinaikkan.
"Walau bagaimanapun ramai penternak ayam tidak menuntut bayaran subsidi yang diberikan, pelbagai isu dibangkitkan.
"Mulai 1 Julai nanti kita tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak tetapi jumlah yang kita (beri) subsidi tersebut, kita akan beri direct (terus) kepada rakyat yang kita anggap memerlukan.
"Tujuan untuk memastikan bebanan kenaikan harga itu tidak terlalu dirasakan dengan adanya sumbangan tunai oleh kerajaan.
"Walau bagaimanapun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Menteri Pertanian dan Asas Tani akan mengumumkan secara lebih lanjut perkara itu," katanya di sini pada Rabu.
Perdana Menteri berucap pada Konvensyen BN bertemakan “Kesetiaan dan Kestabilan” bersempena dengan ulang tahun gabungan parti itu yang ke-48 hari ini.
#Barisan Nasional #ismail sabri yaakob #Harga Ayam #berita Malaysia #subsidi #B40 #Perdana Menteri
;