Penternak arnab rugi RM30,000 akibat banjir di Muar
Bernama
Mac 7, 2023 05:45 MYT
Mac 7, 2023 05:45 MYT
MUAR: Seorang penternak arnab terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM30,000 selepas kandang haiwan peliharaan dan kediamannya di Kampung Liang Batu, Lenga, di sini, ditenggelami banjir.
Shahrizan Mansor, 41, berkata meskipun sempat menyelamatkan ternakan kira-kira 200 arnab dan lapan haiwan eksotik ke rumah rakannya di Felda Lenga dengan menggunakan lori tiga tan, namun produk sejuk beku, perkakas elektrik dan ban arnab telah musnah dalam bencana itu.
Malah, petting zoo yang dibina sejak tahun lepas dengan menempatkan haiwan eksotik terdiri daripada pelbagai baka ayam termasuk Brahma, Silkie USA, Poland Silver, Poland Chamois selain burung Baji juga ditenggelami air.
"Hujan tidak reda pada Rabu lepas dan pada pagi Khamis, saya berasa tidak sedap hati apatah lagi di Labis, Segamat sudah mula banjir. Kemudiannya membuat keputusan untuk memindahkan kesemua haiwan ternakan ke kawasan lebih tinggi dengan dibantu lapan rakan.
"Pada pagi Jumaat, air naik dengan cepat sehingga paras lutut kerana kandang dan rumah terletak kira-kira 800 meter dari Sungai Liang Batu. Sehingga kini, jiran maklumkan kandang dan rumah masih ditenggelami banjir sehingga paras dua meter," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Kompleks Sukan Pagoh, di sini pada Selasa.
Shahrizan berkata arnab yang diternak sejak empat tahun lepas itu terdiri daripada pelbagai baka termasuk Holland Lop, Mix Teddy Bear, New Zealand White, Chinchilla, Angora, Harlequin, Lionhead dan Tri-Color Mini Rex, dengan ada antaranya mencecah harga ribuan ringgit seekor.
"Ini merupakan pengalaman kali kedua air naik begitu cepat di kandang dan rumah. Kali pertama berlaku pada Januari tahun lepas, namun kali ini paling teruk. Lega bila dapat menyelamatkan kesemua arnab, jika saya bertindak lambat, mungkin saya akan kehilangan kesemua haiwan ternakan dalam sekelip mata," katanya.
Bapa kepada dua orang anak itu berkata walaupun sedih melihat banyak barangan di rumah dan kandang rosak, namun dia dan ahli keluarga tetap reda dengan ujian menimpa dan yang lebih utama adalah keselamatan ahli keluarganya terutama isteri sedang hamil lapan bulan.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar menerusi notis yang dimuat naik di Facebook rasmi jabatan itu memaklumkan, setakat 12 tengah hari Selasa, sebanyak sembilan jalan di daerah ini telah ditutup untuk semua kenderaan kerana ditenggelami banjir.
Penutupan itu melibatkan Jalan Muar-Labis berhampiran pasar raya Speedmart, Lenga; Jalan Muar-Labis berhampiran Kampung Jawa; Jalan Muar-Labis berhampiran Jambatan Sungai Tui; Jalan Muar-Labis berhampiran Galeri Bukit Kepong; dan Jalan Durian Chondong berhampiran Jambatan Sungai Muar.
"Turut ditutup Jalan Tekam Pogoh berhampiran Kebun Kelapa Sawit; Jalan Kampung Liang Batu berhampiran Masjid Kampung Liang Batu; Jalan Renchong-Gombang berhampiran Sungai Menchil; dan Jalan Renchong-Gombang berhampiran Sungai Massam," menurut notis itu.
-- BERNAMA