Pentas Seni Merdeka: Hidupkan semula seni dan budaya di ruangan awam
Fareez Azman
Julai 17, 2022 09:00 MYT
Julai 17, 2022 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Menghidupkan semula seni, budaya di ruangan awam sekitar Kuala Lumpur, itu keunikan Program Pentas Seni Merdeka di Dataran Merdeka yang berlangsung pada Sabtu.
Program anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Think City itu dijangka menarik lebih ramai warga kota untuk bersantai di sekitar ruangan awam di bandar berkenaan.
Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, pendekatan baharu itu bukan hanya dapat memberi pendedahan mengenai seni dan budaya lama, malah perpaduan kaum juga dapat diterapkan.
"Tujuannya meningkatkan ekuiti sosial yang berkaitan dengan pentas, seni dan budaya. Tujuan kita juga mengaktifkan ruang awam dan meletakkan Downtown Kuala Lumpur itu sebagai perkara berkaitan budaya, kreatif yang dijalankan secara percuma pada setiap bulan.
"Ini merupakan program pertama dianjurkan antara DBKL dan Think City, dan program seterusnya akan dijalankan dari masa ke semasa iaitu pada bulan Ogos, September dan seterusnya untuk menarik minat golongan dan warga KL supaya dapat membawa keluarga dan melihat pertunjukkan dan persembahan yang dijalankan," jelasnya.
Berlatarbelakangkan bangunan ikonik Sultan Abdul Samad, Panggung Bandaraya dan Bangunan Mahkamah Tinggi di Jalan Raya, program terbabit turut menampilkan persembahan kebudayaan Ronggeng Melayu.
"Saya berpandangan ini satu lagi pendekatan baharu antara DBKL dan Think City untuk memastikan ruang awam digunakan sepenuhnya ketika hujung bulan dan minggu.
"Yang penting pelbagai kaum masyarakat dapat berhimpun bersama sama dengan keluagra mereka untuk mengisi masa lapang mereka," katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata, lebih banyak program akan dijalankan di sekitar bangunan ikonik di ibu kota dalam menarik lebih ramai warga kota menggunakan ruangan awam.
"Think City akan melanjutkan geran sejak 2021 untuk membaik pulih bangunan bersejarah di Kuala Lumpur dan geran mengadakan aktiviti dan mengisikan bangunan bangunan selain daripada membaik pulih ruang awam.
"Program ini kita akan mulakan minggu depan, kita minta sokongan rakyat dan peniaga setempat untuk mengambil kesempatan ini untuk mendapat balik geran program Think City yang akan dijalankan dalam masa terdekat," jelasnya.
Hadir sama dalam majlis itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.