Pentas pemimpin muda ASEAN suarakan pandangan

Bernama
April 26, 2014 12:22 MYT
Lebih 100 pemimpin muda Asean akan berkongsi pandangan dan pendapat mereka dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dalam perjumpaan secara tidak formal yang akan diadakan di sebuah universiti tempatan di sini esok.
Perjumpaan dengan 103 peserta Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI), inisiatif dilancarkan oleh Obama pada Disember lepas, akan memberi peluang kepada presiden AS itu untuk lebih memahami generasi muda di rantau ini.
Program perjumpaan berkonsepkan "town hall" itu merupakan antara atur cara sempena lawatan negara tiga hari presiden AS ke Malaysia, bermula hari ini.
Bagi Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, perjumpaan secara tidak formal itu akan menjadi platform baik bagi presiden AS itu untuk lebih memahami perbezaan antara belia Asean dan belia Amerika.
Katanya pemimpin muda perlu merebut peluang itu untuk berkongsi kebimbangan, pendapat dan pengalaman mereka tentang perkembangan atau situasi semasa di negara masing-masing untuk membolehkan presiden AS itu lebih faham akan senario di rantau Asean.
"Jika sebelum ini, mereka (AS) mempunyai perspektif negatif terhadap rantau ini, terhadap Islam, inilah masanya untuk pemimpin-pemimpin muda membetulkan salah tanggapan itu dan biar beliau (Obama) tahu keadaan sebenar," katanya kepada Bernama.
YSEALI adalah inisiatif baharu diusahakan kerajaan AS, yang antara lain bertujuan memupuk kepimpinan dan meningkatkan rangkaian di Asean, meningkatkan pembabitan pemimpin muda dalam pelbagai sektor kritikal dan memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat antara AS dan pemimpin muda di rantau itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF) Datuk Saifuddin Abdullah, percaya bahawa apa yang lebih penting adalah untuk Obama mendengar isu-isu yang menjadi perhatian dan dekat di hati golongan muda Asean.
Beliau berkata pemimpin muda yang mewakili suara akar umbi, patut menggunakan peluang keemasan itu untuk menyuarakan pendapat mereka mengenai isu-isu yang menjejaskan mereka.
"Saya fikir satu daripada sifat unik Obama, berbanding dengan presiden-presiden sebelumnya, beliau lebih ikhlas dalam inisiatif beliau untuk mendengar pendapat rakyat dan kita perlu memanfaatkan peluang ini kerana beliau pernah dibesarkan di rantau ini dan beliau pasti mempunyai nilai sentimental tertentu dengan rantau ini.
"Saya amat berharap untuk melihat para peserta menyuarakan pendapat mereka dan bukan sekadar bertanya soalan. Ada kalanya masalah dengan sikap orang Asean, peserta tidak berkongsi pendapat tetapi sekadar bertanyakan soalan dan sekiranya anda perlu perkatakan sesuatu yang pahit, silakan, luahkannya," katanya.
Saifuddin berkata peserta merupakan pemimpin-pemimpin masa depan Asean, yang mungkin sudahpun terlibat dalam membuat keputusan di negara mereka.
"Oleh itu, mendengar pendapat dan pandangan "103" pemimpin muda Asean ini boleh diumpamakan seperti mendengar pendapat seluruh pemimpin kerajaan Asean," katanya.
"Saya fikir Obama mahu melihat apa yang difikirkan oleh golongan muda pada zaman ini kerana mereka mewakili komponen populasi Asean," katanya.
#Barack Obama #Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara #yseali
;