PENTalk jadi platform pimpinan UMNO kongsi kejayaan, idea - Azalina

Astro Awani
Ogos 22, 2024 10:45 MYT
Azalina juga mahu ia menjadi pentas kepada ahli parti untuk sentiasa cakna dengan apa yang dilaksanakan menteri UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pencapaian kementerian dan negeri diterajui pemimpin UMNO menjadi antara inti pati pembentangan kepada Ketua Penerangan UMNO bahagian bagi membuka tirai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 bermula semalam sehingga Sabtu.
Program PENTalk anjuran Penerangan UMNO yang diketuai Datuk Seri Azalina Othman Said, menjadi platform kepada kepemimpinan parti dari peringkat mahasiswa sehingga menteri, berkongsi kejayaan, mencambah idea memberi pencerahan kepada ahli.
"Jadi pada hari ini dengan ada PENTALK, kita bagi platform kepada semua naib naib presiden kita untuk memberikan sedikit cerita tentang kejayaan mereka menerajui Kementerian-Kementerian dan juga negeri-negeri.
"Alhamdulillah, saya nak mengucapkan tahniah kepada semua negeri negeri yang telah mewujudkan platform social media yang begitu agresif, begitu kreatif dan paling penting saya tengok ialah kejayaan kita menggunakan sosial media untuk mengutarakan propaganda politik kita dan juga untuk menampis propaganda politik musuh-musuh," katanya.
Ia juga sebagai kesiapsiagaan jentera parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Antara pemimpin yang membuat perkongsian ialah Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Azalina juga mahu ia menjadi pentas kepada ahli parti untuk sentiasa cakna dengan apa yang dilaksanakan menteri UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
Perhimpunan Agung UMNO berlangsung bermula pada Rabu hingga 24 Ogos di Pusat Dagangan Dunia (WTC), dengan 6,433 perwakilan dari seluruh negara.
#Azalina Othman Said #Perhimpunan Agung UMNO #UMNO #PENTALK