Pentaksiran PISA menilai tahap kompetensi murid, penting demi masa depan
Astro Awani
November 23, 2023 12:45 MYT
November 23, 2023 12:45 MYT
KUALA LUMPUR: Programme for International Student Assessment (PISA) bertujuan melihat sejauh mana murid berusia 15 tahun yang telah melalui sembilan tahun pendidikan formal memperoleh pengetahuan dan kemahiran penting yang diperlukan untuk mereka terlibat sepenuhnya sebagai ahli masyarakat moden pada masa kini dan masa hadapan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Ahmad Rafee Che Kassim, dapatan pentaksiran ini boleh digunakan untuk memantau trend dalam pemerolehan pengetahuan dan kemahiran murid, serta berdasarkan demografi sesebuah negara.
“Hal ini membolehkan penggubal dasar pendidikan mengenal pasti tahap pengetahuan dan kemahiran murid yang terhasil daripada sistem pendidikan negara masing-masing.
“PISA mula diperkenalkan pada tahun 2000 dan ditadbir setiap tiga tahun dalam tiga domain literasi iaitu Literasi Bacaan, Literasi Matematik dan Literasi Saintifik”.
“Dapatan daripada soal selidik juga memberi maklumat tentang kelayakan dan pengalaman guru, perbandingan tentang sikap murid terhadap mempelajari matematik, sains dan bacaan, sikap murid terhadap keupayaan diri termasuklah perbandingan antara amalan pengajaran dan pembelajaran negara lain merangkumi tempoh pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran matematik, sains dan bacaan,” katanya dalam program AWANI Pagi hari ini.
Jelasnya, banyak manfaat yang Malaysia peroleh daripada menyertai PISA.
Antaranya termasuk, menilai trend pencapaian murid pada peringkat antarabangsa dalam domain kognitif yang ditaksir iaitu Literasi Matematik, Literasi Saintifik dan Literasi Bacaan; menilai trend pencapaian murid berdasarkan status sosioekonomi murid dan latar belakang sekolah; dan menentukan intervensi serta strategi penambahbaikan program dan dasar bagi meningkatkan kecemerlangan serta kualiti pendidikan negara.