Pentaksiran baru bantu guru lahirkan pelajar cemerlang
Astro Awani
Januari 1, 2019 15:02 MYT
Januari 1, 2019 15:02 MYT
Mekanisme pentaksiran bukan berasaskan peperiksaan yang bermula pada sesi persekolahan 2019 dapat membantu guru lebih fokus dalam membentuk lebih ramai pelajar cemerlang.
Pada masa sama jelas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, ibu bapa perlu memainkan peranan menggalakkan anak mereka untuk lebih minat membaca dan sentiasa meneroka ilmu baharu.
"Saya harap guru dapat menumpukan usaha pembelajaran untuk meningkatkan kejayaan murid kerana mereka diberikan lebih waktu untuk mendidik mereka.
"Kepada ibu bapa pula perlu menggunakan waktu yang ada dengan menggalakkan pembacaan pada anak-anak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan Ledang, Tangkak yang memulakan sesi persekolahan 2019 pada Selasa.
Pada November 2018, Kementerian Pendidikan mengumumkan pentaksiran bagi murid Tahun Satu, Dua dan Tiga (Tahap Satu) akan bertumpu kepada perkembangan pembelajaran serta tidak lagi berorientasikan peperiksaan.
Pentaksiran alternatif itu merujuk kepada pelbagai aktiviti selain peperiksaan untuk menilai penguasaan dan mengesan perkembangan pembelajaran murid.
Ia dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui aktiviti seperti perbincangan, persembahan, kerja projek, tugasan, amali, pemerhatian, portfolio, pameran dan kuiz.
#cemerlang
#guru
#Kementerian Pendidikan
#Maszlee Malek
#Maszlee Malik
#pelajar
#pendidikan
#peperiksaan
#sekolah