Pentadbir institusi pendidikan perlu patuhi garis panduan terima sumbangan - Fadhlina
Bernama
Julai 23, 2024 18:17 MYT
Julai 23, 2024 18:17 MYT
KUALA LUMPUR: Pentadbir institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan dalam menguruskan sumbangan yang diterima daripada pihak luar.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya mengalu-alukan pemberian sumbangan kepada institusi pendidikan namun pada masa sama, ia mesti selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan.
"Kita ada garis panduan bagaimana sekolah boleh memainkan peranan dalam memastikan bahawa semua yang terkait rapat dengan sumbangan ini dapat dimanfaatkan untuk sekolah, jadi nasihat saya patuhi garis panduan tersebut.
"Tanggungjawab itu berada di peringkat pentadbir untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar. Sekali lagi sekolah adalah milik masyarakat dan kita alu-alukan sebarang sumbangan tetapi mesti patuhi garis panduan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) 2023 di sini hari ini.
Semalam KPM dalam kenyataan menyebut kementerian itu sedang melakukan siasatan berhubung isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras.
Fadhlina berkata garis panduan sedia ada sekiranya dipatuhi tidak akan mendatangkan sebarang mudarat kepada mana-mana institusi pendidikan.
"Saya tidak fikir mekanismanya begitu sukar, tidak mendatangkan apa-apa mudarat pun kepada sekolah dengan memastikan bahawa garis panduan itu dipatuhi.
"Maknanya mesti ada mekanisma yang kita boleh harmonikan keadaan supaya mesej yang kita ingin sampaikan itu adalah mesej pendidikan untuk bersama dan sekolah adalah milik masyarakat dan sumbangan itu dialu-alukan dan kembali manfaatnya untuk masyarakat," katanya.
-- BERNAMA