Pensyarah wanita rugi RM30,400 ditipu Macau Scam

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 8, 2019 04:01 MYT
Mangsa yang menyedari dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan itu tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Seorang pensyarah wanita di Pulau Pinang kerugian RM30,400 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran dan pegawai polis, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara , Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 36 tahun bertugas di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan yang yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat penghantaran yang memaklumkan terdapat bungkusan dadah yang dihantar atas nama mangsa ke sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, mangsa menafikannya menyebabkan panggilan disambungkan kepada pegawai polis yang mengesahkan bungkusan dadah tersebut diatas nama mangsa selain terlibat dengan pengubahan wang haram .
Akibat ketakutan dan bimbang ditangkap polis, mangsa telah membuat tiga transaksi ke akaun pegawai juruaudit Bank Negara Malaysia dengan jumlah RM30,400 kononnya bagi tujuan siasatan.
Noorzainy berkata mangsa hanya sedar ditipu setelah memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya dan diberitahu pemanggil tersebut adalah scammer.
Jelas Noorzainy, mangsa yang menyedari dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan itu tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket berkenaan.
Noorzainy berkata, mana-mana individu yang berdepan dengan situasi sama diingatkan agar jangan mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan.
Kes berkenaan di siasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
#Bank Negara Malaysia #Dadah #Macau Scam #mangsa #Noorzainy Mohd Noor #pensyarah #polis #sindiket