Pensyarah wanita IPTA diperdaya 'Inspektor Ku', lesap RM1.3 juta
Siti Nur Aqilla Omar
Januari 8, 2023 15:12 MYT
Januari 8, 2023 15:12 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang pensyarah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjadi mangsa penipuan apabila diperdaya sindiket ‘Macau scam’ sehingga kerugian RM1.3 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, wanita berusia 41 tahun itu mendakwa dia sebelum itu dihubungi individu dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dirinya terlibat dalam pemalsuan laporan COVID-19 di Sabah.
Katanya meskipun mangsa menafikannya, panggilan terus disambung kepada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai 'Inspektor Ku' yang kemudian menyatakan mangsa, terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram dan dadah.
Kata mangsa, ‘Inspektor Ku’ menawarkan untuk membantu dan mengarahkannya membuka akaun bank baharu bagi menyelesaikan kes dihadapinya.
Mangsa telah mengikuti arahan ‘Inspektor Ku’ dan memindahkan wangnya ke akaun baharu yang mana nombor telefon lain didaftarkan sebagai penerima nombor pengesahan keselamatan ‘TAC', kononnya sementara kes berkaitan mangsa disiasat.
“Modus operandi, menelefon mangsa kata ada isu berkaitan vaksin, dan dia terpengaruh dan menyambung ke polis, kemudian kastam dan sebagainya.
“Mangsa membuka akaun baharu di bank dan membuat pinjaman ke beberapa bank hingga kerugian RM1.3 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor, di sini pada Ahad.
Jelas Kamarul Zaman lagi, susulan itu pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa pada Sabtu.
Katanya mangsa telah membuat pemindahan wang berjumlah RM1.3 juta antara 17 Oktober 2022 sehingga 25 November 2022.