Pensyarah UPM meninggal dunia usai tamatkan marathon Langkawi

Adie Sufian Zulkefli
Disember 17, 2022 12:21 MYT
Semasa menghampiri garisan penamat, Allahyarham tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. - Foto PDRM
LANGKAWI: Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM, Dr Nik Mohd Faiz Nik Mohd Azmi, 37, meninggal dunia selepas selesai menamatkan larian Langkawi Half Marathon di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada doktor bertugas di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Maliha pada jam 10.30 pagi, seorang lelaki telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
“Allahyarham merupakan salah seorang peserta Langkawi International Half Marathon 2022.
“Semasa menghampiri garisan penamat, Allahyarham tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.
“Petugas perubatan dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah beri bantuan awal dan Cardiopulmonary resuscitation (CPR) sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shariman berkata, Allahyarham merupakan pensyarah kanan di Universiti Putra Malaysia dan kematiannya kemudiannya dimaklumkan kepada isterinya.
Katanya, ujian COVID-19 yang telah dilakukan didapati negatif dan jenazah akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#pesyarah UPM #meninggal dunia #Nik Mohd Faiz Nik Mohd Azmi #marathon Langkawi