Pensyarah UPM mengaku tidak salah perdaya, kemuka tuntutan palsu upah penghitung data

Bernama
Julai 31, 2024 10:39 MYT
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di Pejabat Institut Penyelidikan Matematik, UPM pada 29 Okt 2019 hingga 1 Jun 2022. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 20 pertuduhan memperdaya lapan ejen, dengan mengemukakan tuntutan palsu berhubung bayaran upah enumerator (penghitung data) sekitar 2019 hingga 2022.
Profesor Dr Lee Lai Soon, 49, didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat memperdayakan pihak terbabit, dengan mengemukan tuntutan mengandungi butir matan palsu bagi bayaran upah enumerator berjumlah RM45,366, sedangkan perkhidmatan itu tidak dilaksanakan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan pilihan, dengan curangnya menggunakan satu set dokumen sebagai tulen bagi tuntutan bayaran upahan enumerator yang dipercayainya adalah palsu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Lee didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di Pejabat Institut Penyelidikan Matematik, UPM pada 29 Okt 2019 hingga 1 Jun 2022.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Anis Najwa Nazari mengesyorkan jaminan RM20,000 hingga RM30,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan untuk melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi kes.
Peguam Chen Woon Yong yang mewakili Lee merayu jumlah jaminan diturunkan kepada RM10,000 mengambil kira anak guamnnya seorang yang komited terhadap komuniti akademik dan berkhidmat dengan UPM sejak 2006, di samping tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta memberi kerjasama kepada SPRM ketika siasatan.
Hakim Datuk Anita Harun kemudiannya menetapkan jumlah jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan, serta dilarang menganggu saksi kes.
Anita turut mengarahkan pasport Lee disimpan oleh mahkamah dan tertuduh boleh memaklumkan kepada mahkamah jika mempunyai urusan yang melibatkan penggunaan pasport dan menetapkan 23 Sept untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
-- BERNAMA
#pensyarah UPM #tuntutan palsu #enumerator #kes mahkamah