Pensyarah rugi RM300,000 jadi mangsa penyamar pegawai LHDN

Sinar Harian
Januari 7, 2022 04:49 MYT
Nasib menimpa mangsa itu berlaku bermula pada 11 Disember lalu selepas menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN.- Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang pensyarah wanita berputih mata apabila wang simpanan sebanyak RM300,000 dipindahkan ke beberapa akaun bank tidak dikenali atas arahan seseorang yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mangsa berusia 49 tahun diarah berbuat demikian oleh 'pegawai LHDN' terbabit kononnya atas faktor keselamatan berikutan namanya digunakan pihak lain dalam urusan pendaftaran sebuah syarikat menyebabkan dia terpaksa membayar tunggakan cukai mencecah RM33,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, nasib menimpa mangsa itu berlaku bermula pada 11 Disember lalu selepas menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN dan memaklumkan mengenai tunggakan cukai syarikat tersebut.
Beliau berkata, mangsa yang menafikan kaitannya dengan syarikat itu telah diarahkan supaya memindahkan wang simpanannya ke akaun bank yang diberikan bagi tujuan keselamatan dan semakan Bank Negara.
"Mangsa akur apabila membuat 19 transaksi pindahan wang daripada akaun banknya ke beberapa akaun bank atas nama individu lain dalam tempoh 11 Disember tahun lalu hingga kali terakhir pada Selasa lalu melibatkan jumlah keseluruhan RM300,000.
"Selepas selesai membuat pindahan wang seperti diarahkan, mangsa mula curiga dan syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada Khamis," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Wazir berkata, dalam kes tersebut, mangsa dipercayai telah menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lagi pensyarah wanita berdepan nasib sama apabila kerugian RM50,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan didalangi individu menyamar sebagai pegawai polis.
ARTIKEL ASAL DI SINAR HARIAN
#pensyarah ditipu #pegawai LHDN #Kuantan #Mohd Wazir Mohd Yusof