Pensyarah rugi ditipu beli kucing British Shorthair

Sinar Harian
Ogos 24, 2021 07:20 MYT
Hasrat seorang pensyarah sebuah kolej untuk memiliki seekor kucing baka British Shorthair tidak kesampaian apabila dia tertipu dalam urusan jual beli haiwan berkenaan. -Gambar fail
JEMPOL: Hasrat seorang pensyarah sebuah kolej untuk memiliki seekor kucing baka British Shorthair tidak kesampaian apabila dia tertipu dalam urusan jual beli haiwan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang berusia 37 tahun tertarik membuat pembelian setelah melihat iklan kucing berkenaan di satu akaun Instagram pada Isnin.
"Mangsa terus berurusan dengan pemilik akaun tersebut melalui aplikasi WhatsApp.
"Pemilik akaun memberitahu kucing itu berharga RM398 termasuk penghantaran dan mangsa bersetuju untuk membelinya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, mangsa kemudian telah membuat pindahan wang ke nombor akaun yang diberikan.
Ujarnya, selepas pembayaran dibuat, mangsa diminta oleh penjual untuk membayar RM980 bagi urusan Kad ID kucing tersebut.
"Mangsa diberitahu jika gagal membuat bayaran, kucing tersebut akan ditahan oleh pihak Kastam.
"Mangsa yang rasa ditipu dalam urusan jual beli kucing telah buat laporan polis," katanya.
Beliau berkata, sehingga kini mangsa masih belum menerima kucing daripada penjual berkenaan.
*Berita asal di Sinar Harian
#kucing baka British Shorthair #tertipu dalam urusan jual beli haiwan #pensyarah kolej ditipu
;