Pensyarah Jepun kuasai bahasa Melayu dalam tempoh dua tahun
Sinar Harian
April 27, 2023 07:15 MYT
April 27, 2023 07:15 MYT
SHAH ALAM: Hanya mengambil masa sekitar dua tahun, seorang pensyarah Bahasa Jepun, Natsue Hieda, 45, kini mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih.
Wanita berasal dari Toyama, Jepun itu mengakui dari sudut linguistik, bahasa Melayu mempunyai tatabahasa dan kosa kata yang agak mudah berbanding bahasa lain.
Beliau turut berpendapat, bahasa kebangsaan Malaysia itu merupakan antara bahasa yang mudah dipelajari oleh penutur bukan asli.
"Selain itu, bunyi bahasa Melayu juga lebih mudah disebutkan oleh orang Jepun, berbanding bahasa Inggeris.
"Namun sebaliknya, adalah lebih sukar bagi rakyat Malaysia untuk mempelajari bahasa Jepun kerana ia mempunyai sistem tatabahasa dan kosa kata yang jauh lebih kompleks," katanya kepada Sinar Harian.
Menariknya, Hieda yang mendirikan rumah tangga bersama pasangannya yang juga warganegara Malaysia hanya mempelajari bahasa yang pernah diiktiraf sebagai ‘lingua franca’ itu melalui pembelajaran kendiri sahaja.
Ibu kepada empat cahaya mata itu membeli sebuah buku teks yang ditulis oleh seorang profesor di Tokyo University of Foreign Studies dan membacanya dengan teliti.
"Saya dapat memahami tatabahasa Melayu dengan baik kerana ia sangat terperinci dan mudah difahami dalam bahasa ibunda saya.
"Tidak dinafikan, penutur bahasa asing akan menghadapi kesukaran untuk menjadi fasih dengan segera walaupun individu tersebut sudah mempunyai pengetahuan tatabahasa.
"Oleh itu, saya juga mengambil masa yang lama untuk dapat meluahkan apa yang ingin disampaikan dengan lancar," ujarnya.
Hieda memberitahu, persekitarannya yang cenderung menggunakan bahasa Melayu membantunya meningkatkan kemahiran menguasai bahasa tersebut.
"Semasa mula-mula datang ke Malaysia, saya bekerja sebagai guru bahasa Jepun di sebuah universiti di Malaysia.
"Pada masa itu, kebanyakan perbualan seharian adalah dalam bahasa Melayu. Saya juga selalu berbual dengan saudara mara, rakan atau rakan sekerja dalam bahasa ini kerana ia boleh menjadi peralatan komunikasi yang paling mudah, ekonomi dan semula jadi di Malaysia," kongsinya.
Hieda yang kini mengajar di kampus Malaysia, University of Tsukuba sebelum ini pernah menterjemah buku bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berjudul, Dr M: Apa Habaq Orang Muda? ke dalam bahasa Jepun.
"Saya sangat gembira kerana diberikan peluang yang begitu berharga. Permintaan itu datang sejurus selepas kerja penting lain selesai, jadi saya sempat menerimanya.
"Ia datang pada masa yang sangat sesuai. Dalam kehidupan, adakalanya macam-macam perkara misteri berlaku," luahnya. - Sinar Harian