Pensyarah didakwa lakukan gangguan seksual buat laporan polis - KPT
Umavathi Ramayah
Disember 21, 2024 21:37 MYT
Disember 21, 2024 21:37 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penuntut Universiti Malaya (UM) baru-baru ini sudah membuah laporan polis dan siasatan sedang djalankan.
Justeru Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan, sebarang tindakan mesti selaras dengan undang-undang kerana pelanggaran tatacara perundangan dianggap sebagai mencabuli proses siasatan.
"Sehubungan itu, KPT menyeru agar semua pihak memberikan ruang untuk siasatan menyeluruh dilaksanakan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Zambry menjelaskan Unit Integriti UM juga sedang menjalankan siasatan secara aktif sejak tarikh aduan itu diterima.
Beliau berkata, semua prosedur serta peraturan berkaitan dipatuhi sepenuhnya.
"UM juga mempunyai garis panduan dan peraturan khusus berhubung isu gangguan seksual, dan langkah-langkah yang sewajarnya sedang diambil untuk melindungi hak semua pihak," tambahnya.
Zambry menegaskan, kementeriannya dan pengurusan UM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti bersalah melakukan pelanggaran undang-undang dan tindakan tatatertib yang tegas akan diambil.
Dalam perkembangan berasingan membabitkan dakwaan Alumni Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, yang mendakwa seorang daripada lima penuntut IPT itu pernah mengalami gangguan seksual, katanya, beliau sudah mengarahkan UM mengambil tindakan segera.
Menurut beliau, UM perlu memulihkan imej mereka secara menyeluruh bagi memelihara nama baik universiti itu.
Namun beliau menegaskan, sekiranya dakwaan itu tidak benar atau tersasar, maka UM boleh mengambil tindakan lanjut.
Alumni itu dalam kenyataan pada Jumaat mendakwa, daripada jumlah itu hanya 11.1 peratus penuntut yang tampil membuat pendedahan untuk tindakan.