Pensyarah didakwa hina Nabi sudah direkod keterangan - KPN
Umavathi Ramayah
November 25, 2024 19:47 MYT
November 25, 2024 19:47 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang pensyarah yang didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W ketika berceramah di sebuah konvensyen baru-baru ini sudah direkodkan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, dalam keterangannya itu, suspek yang ditemani peguam menjawab 23 soalan berhubung dakwaan itu.
Katanya, siasatan ke atas pensyarah itu dilakukan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan agama di antara orang menganut agama sama.
Menurutnya, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun.
"Pensyarah itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, setakat pukul 12 tengah hari Isnin, polis menerima sembilan laporan ke atas suspek.
Polis sebelum ini mengesahkan sudah membuka kertas siasatan pada Rabu lalu selepas menerima laporan berhubung sebuah hantaran di laman Facebook menyatakan seorang pensyarah dikatakan menghina Nabi Muhammad melalui satu ceramah di sebuah konvensyen yang dikendalikan oleh individu berkenaan.