Pensyarah didakwa hina B40: Saya telah minta penjelasan UiTM - Menteri
Hafizi Rosli
Mac 30, 2022 10:53 MYT
Mac 30, 2022 10:53 MYT
KUALA LUMPUR: Susulan tular satu klip video memaparkan seorang pensyarah universiti tempatan yang didakwa menghina seorang pelajar yang tidak memiliki komputer riba, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad tampil memberikan respons.
Menerusi laman Twitter rasminya @DrNorainiAhmad pagi ini, beliau berkata, akan mendapatkan penjelasan daripada universiti tempat pensyarah berkenaan mengajar.
"Saya ambil maklum mengenai isu dan video yang tular ini. Saya telah berhubung dengan pihak
UiTM," katanya.
Ciapan terbaharu Noraini itu pantas diulang ciap (retweet) satu ciapan lain yang didakwa memaparkan video yang tular itu.
Namun, hasil pemerhatian semula di Twitter, video asal berkenaan telah dipadam oleh individu yang memuatnaiknya.
Susulan tular video berkenaan, pelbagai reaksi warga net mempertikaikan tindakan pensyarah yang menghina pelajar itu.
Pensyarah berkenaan turut didakwa menyifatkan golongan B40 tidak mementingkan pelajaran.