'Pensyarah dari syurga' terima penghargaan Kesuma, Lim dijadikan anak angkat
Bernama
September 8, 2024 21:15 MYT
September 8, 2024 21:15 MYT
GEORGE TOWN: Mohd Zaidil Adha Mat Hussin, pensyarah Politeknik Balik Pulau yang menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia kerana membantu seorang penuntut baharu berbangsa Cina sehingga tular menerusi media sosial Julai lepas, menerima penghargaan daripada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Penghargaan itu berupa wang ganjaran RM1,000 dan sijil yang disampaikan sendiri oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dalam satu pertemuan khas bersama Mohd Zaidil Adha dan pelajar berkenaan Lim Zi Yang di sebuah restoran di sini.
Menerusi catatan yang didedikasikan khas buat pensyarah terbabit, Sim yang turut memuat naik gambar pertemuan itu di laman Facebook rasminya memberitahu pihaknya memutuskan untuk memberikan penghargaan itu selepas tersentuh dengan usaha murni ditunjukkan Mohd Zaidil Adha yang berkhidmat menjangkau tugas hakiki dengan membantu pelajar dalam kesusahan.
Sim berkata pihaknya juga menyumbangkan RM3,000 kepada Lim, malah lebih manis pelajar berkenaan turut dijadikan anak angkatnya dan akan diberikan elaun RM200 setiap bulan sehingga tamat belajar di politeknik.
Dalam catatan berkenaan, Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu yang menggambarkan Mohd Zaidil Adha umpama "pensyarah dari syurga" bersyukur kerana masih ada orang yang baik seperti beliau.
"Kisah Zaidil dan Lim menzahirkan nilai-nilai Malaysia MADANI. Tanpa mengenal bangsa dan agama, kita sama-sama membantu menjadikan Malaysia sebuah negara yang harmoni untuk semua, selama-lamanya," menurut catatan itu.
Mengimbau kembali kisah dua insan terbabit, Sim berkata Lim yang berasal dari Johor datang seorang diri ke Pulau Pinang menaiki bas kerana bapanya hanya mampu membeli satu tiket disebabkan kekangan kewangan kerana bukan berasal daripada keluarga berada.
Ia juga merupakan kali pertama Lim keluar dari kampung halamannya di Batu Pahat dan Mohd Zaidil Adha yang banyak membantu memberikan panduan untuk sampai ke politeknik, tetapi malangnya mungkin kerana terlalu gementar Lim tersalah mengambil beg dan hanya sedar ketika tiba di asrama.
Mohd Zaidil Adha bersama Lim kemudian berpatah balik ke Terminal Bas Penang Sentral di Butterworth memandangkan beg terbabit hanya boleh diambil di situ.
"Ketika dalam perjalanan pulang, Zaidil terdengar bunyi perut Lim rancak berkeroncong. Maka, terjadilah satu perkara indah yang saya cukup bangga menggelar diri saya sebagai anak Malaysia. Encik Zaidil mengajak Lim makan sampai kenyang dan belikan sedikit barang keperluan di Lotus's sebelum mereka pulang ke Balik Pulau," menurut catatan itu.
Kisah mereka turut tular dalam media sosial dan mendapat pujian rata-rata rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
-- BERNAMA