Pensyarah berhasrat jelajah benua Himalaya

Bernama
Oktober 4, 2016 23:18 MYT
Anita menyampaikan mesej serta dan mengubah persepsi masyarakat bukan Islam mengenai Islam yang kononnya mengamalkan diskriminasi terhadap kaum wanita. - Foto Bernama
Seorang pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh yang berjaya menyelesaikan pengembaraan solo merentasi 40 negara di empat benua berhasrat meneruskan penjelajahan ke Himalaya pula.
Anita Yusof, 49, bagaimanapun berkata buat masa sekarang beliau ingin berehat dan kembali bertugas selepas hampir 30 hari mengelilingi dunia pada jarak 65,369 kilometer dengan hanya menaiki motosikal jenis Yamaha FZ150.
"Saya akan berkongsi pengalaman sepanjang pengembaraan bersama-sama pelajar sekolah dan universiti selain akan menerbitkan buku yang menceritakan kisah suka duka sepanjang misi kembara itu," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan kepulangan beliau di sini hari ini.
Ibu kepada dua orang anak lelaki itu memulakan pengembaraan 'Global Dream Ride' sejak 13 September tahun lepas dan berjaya menamatkan pengembaraannya di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 16 September lalu sempena Hari Malaysia.
Anita membuat keputusan untuk mengambil cuti tanpa gaji selama setahun serta mengeluarkan RM120,000 daripada poket sendiri demi pengembaraannya itu dan berkat usaha itu beliau telah diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai wanita Islam Malaysia pertama bermotosikal mengelilingi dunia.
Berkongsi mengenai pengalaman dan cabaran yang dihadapi, Anita berkata sepanjang pengembaraan itu beliau terpaksa mengharungi keadaan cuaca yang tidak menentu dan berhadapan dengan laluan yang dipenuhi binatang buas.
"Selain itu, saya turut berhadapan dengan pertembungan angin dari Lautan Atlantik dan Pasifik dan pernah diperas ugut oleh pihak tertentu," katanya.
Menurut Anita, kira-kira 85 peratus objektif beliau telah tercapai untuk menyampaikan mesej serta dan mengubah persepsi masyarakat bukan Islam mengenai Islam yang kononnya mengamalkan diskriminasi terhadap kaum wanita.
"Masyarakat bukan Islam menganggap Islam ini suka melakukan keganasan, diskriminasi terhadap kaum wanita dan banyak lagi perkara negatif yang mereka anggap mengenai Islam.
"Ia adalah satu sumbangan yang tidak seberapa daripada saya untuk memainkan peranan dengan mengikis pandangan serong masyarakat bukan Islam terhadap agama dan wanita Islam," katanya. - BERNAMA
#Anita Yusof #jelajah Himalaya #kembara solo #mesej wanita #Yamaha FZ150
;