Penstrukturan semula lebuh raya: Kerajaan sedang berunding dengan beberapa konsesi tol - Fadillah

Ridauddin Daud
April 4, 2022 16:16 MYT
Fadillah optimis rundingan tersebut akan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.- Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Selepas penstrukturan semula empat konsesi lebuh raya, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kini kerajaan sedang berunding dengan beberapa lebuh raya lain juga.
Menurutnya, beliau optimis rundingan tersebut akan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Kerajaan menganggarkan, sebab tiada lagi pampasan akan dibayar, kita akan dapat menjimatkan RM4.3 bilion kepada kerajaan dan dengan penjimatan kewangan ini, kerajaan dapat fokuskan untuk membina infrastruktur lain untuk kemudahan rakyat.
BACA: Tiada kenaikan tol di empat lebuh raya di Lembah Klang - PM
“Kita dah tahu empat lebuh raya ini, tiada lagi kenaikan tol. Kedua, ini adalah situasi menang-menang di mana ALR yang dipertanggungjawabkan dan kita doakan ALR dapat memuktamadkan pengambil alihan lebuh raya ini.
“Dengan pengambilalihan ini, mereka akan teruskan operasi supaya khidmat kepada pengguna lebuh raya akan dapat diberi jaminan dari segi keselesaan dan keselamatan,” katanya.
BACA: ALR tawar ambil alih empat syarikat konsesi tol - Fadillah
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Kementerian Kerja Raya di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, ketika media bertanya adakah kadar tol akan diturunkan selepas ini, Fadillah memberitahu semuanya perlu menunggu pengumuman kelak.
“Yang itu tunggu pengumuman. Setakat ini apa yang kita jamin, empat lebuh raya ini tidak akan ada lagi kenaikan tol.
“Kadarnya tetap pada kadar sedia ada untuk semua jenis kenderaan,” ujarnya.
Kadar Tol | Tiada kenaikan melibatkan 4 lebuh raya
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) menawarkan untuk membeli empat syarikat konsesi tol di Lembah Klang yang baharu saja diumumkan kadar tol di semua lebuh raya itu tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi.
Empat lebuh raya tersebut ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP).
#Fadillah Yusof #kadar tol #konsesi tol #SMART #KESAS #LDP #SPRINT
;