Penstrukturan semula gaji guru Kemas masih dalam perbincangan

Bernama
September 5, 2023 05:20 MYT
Rubiah berkata, cadangan itu masih dalam proses libat urus antara pihak Kemas dan KKDW, serta masih belum dibincangkan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam. - Foto fail/BERNAMA
BANGI: Cadangan penstrukturan semula gaji tenaga pengajar Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengikut kelulusan dan pengalaman masih di peringkat perbincangan awal, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Beliau berkata pada masa ini cadangan itu masih dalam proses libat urus antara pihak Kemas dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), serta masih belum dibincangkan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam.
"Cadangan (penstrukturan gaji) memang ada, masih lagi di peringkat awal. Insya-Allah perkara ini kita akan bawa lagi ke depan dan lihat perkembangannya," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 Kemas di sini pada Selasa.
Pada Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata KKDW berhasrat melaksanakan penstrukturan gaji tenaga pengajar tabika di bawah Kemas berdasarkan kelayakan dimiliki mereka.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata skim gaji ketika ini tidak berasaskan kelulusan dan tidak adil kerana terdapat antara pendidik di Tabika Kemas berkelulusan diploma dan ijazah, tetapi tidak diberikan pengiktirafan sewajarnya oleh kerajaan.
Sementara itu ketika berucap, Rubiah menyeru kakitangan Kemas agar terus memberikan perkhidmatan terbaik dengan memastikan jentera kerajaan bergerak dengan berkesan serta melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi yang disusun kerajaan.
"Selaku penjawat awam, kita tidak boleh kekal selesa pada sesuatu tahap pencapaian. Ekspektasi pelanggan atau rakyat terhadap perkhidmatan awam, hari demi hari semakin tinggi dan keadaan ini sudah tentunya mendesak kita membuat pembaharuan yang berterusan.
Terdahulu, Rubiah menyampaikan APC kepada 156 pegawai dan kakitangan Kemas dari ibu pejabat, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Institut Latihan Kemas Kuala Lumpur dan Pusat Latihan Kemas Melaka.
-- BERNAMA
#gaji guru kemas #Kemas #KKDW #Rubiah Wang
;