Penstrukturan Batalion Rejimen Sempadan: Mampu beroperasi seperti RAMD, RRD - Panglima
Abd Hadi Che Awang
Ogos 11, 2022 14:10 MYT
Ogos 11, 2022 14:10 MYT
PADANG BESAR: Penstrukturan semula Batalion Rejimen Sempadan (BRS) kepada Batalion Infantri Standard (BIS) akan memberikan keupayaan untuk pasukan berkenaan beroperasi sepenuhnya selain melaksanakan latihan yang sama seperti Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer Diraja (RRD).
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, transformasi berkenaan juga adalah platform untuk menaik taraf aset-aset serta peralatan sedia ada di Rejimen Sempadan meliputi senjata persendirian dan senjata-senjata bantuan.
Beliau menegaskan, penstrukturan itu turut berperanan sebagai medan mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam mempertahankan negara.
"Aset memang kita akan tambah, macam mana kita maklumkan aset atau peralatan mereka ini akan sama dengan Infantri biasa, makna sekarang ini, askar Wataniah ini contoh weapon kita bagi M16 sahaja, tetapi sekarang kita agihkan M4, dulu tak ada senjata bantuan, sekarang kita akan bagi LMG, kita akan bagi mortar, sama untuk dia beroperasi sebagai batalion-batalion standard,
"Dia punya transportation pun sama, dia punya benchmark dia is Infantri Standard, segala Infantri Standard ada dia akan ada," kata beliau.
Zamrose berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pembarisan Pengisytiharan Batalion Infrantri Standard dan Acara Pemakaian Pangkat Perdana Anggota Lain-Lain Pangkat Regimen Sempadan di Markas Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Kem Bukit Cowder, di sini, pada Khamis.
Dalam majlis berkenaan, seramai 611 anggota lain-lain pangkat telah dinaikkan pangkat selaras dengan penstrukturan Batalion Infantri Standard yang turut menawarkan proses kenaikan pangkat yang lebih meluas.
Selain itu, TDM juga akan mengutamakan anggota daripada Regimen Sempadan yang kini dikenali sebagai Infantri Standrad untuk menghadiri pelbagai kursus kepakaran pengendalian senjata.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya akan menaiktaraf prasarana latihan dan rumah keluarga mengikut spesifikasi yang selaras dengan BIS.
Acara-acara rejimental yang akan dilaksanakan selepas ini juga akan dibuat berlandaskan tonggak keutuhan organisasi selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik Tentera Darat, Army 4Next G bagi mengukuhkan TDM sebagai pasukan yang lebih kompeten serta dinamik.