Pensil apa pun kita akan siasat, kata Ketua Polis Negara
Hakim Rahman
Januari 11, 2014 08:17 MYT
Januari 11, 2014 08:17 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat semua demonstrasi yang didakwa tidak mengikut Akta Perhimpunan Aman termasuk perhimpunan wartawan menuntut kebebasan media yang dinamakan sebagai Protes Pensil Merah pada 4 Januari lalu.
"Semua perhimpuan dan demonstrasi yang tidak mengikuti Akta Perhimpunan Aman kita (PDRM) akan dipanggil. Tidak kira siapa, pensil merah atau pensil biru sekalipun kita akan panggil," katanya Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu sidang media pada Jumaat.
"Saya sudah cakap banyak kali, apa yang susahnya? Bagi notis kepada polis kemudian polis akan beritahu waktu dan lokasi yang sesuai untuk kami jaga dan kawal.
"Apa salahnya beritahu kami (PDRM)?" katanya lagi.
Jelas Khalid, mereka yang menganjurkan demonstrasi sengaja tidak berbuat demikian kerana mahu polis bertindak dan tindakan itu akan diwar-warkan bagi memberi imej yang buruk kepada PDRM.
Protes Pensil Merah anjuran sekumpulan wartawan yang menamakan diri mereka sebagai Gerakan Media Marah (GERAMM) diadakan susulan tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung akhbar mingguan The Heat pada akhir Disember lepas.
GERAMM sebelum ini menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, Khalid berkata pihaknya tahu apa yang perlu dilakukan dan akan menggunakan undang-undang sedia ada bagi menangani perhimpunan haram.
Sepanjang tahun 2013, PDRM telah berhadapan dengan 26 perhimpunan yang diklasifasikan sebagai haram termasuk bantahan kenaikan harga barang pada malam sambutan ambang tahun baru.
Ditanya mengenai tindakan terhadap anggota polis yang mengasari pengamal media semasa BERSIH 3.0, Khalid berkata tindakan terhadap displin telah diambil terhadap mereka.
"Ya tindakan telah diambil terhadap anggota polis berkenaan, tetapi saya tidak mempunyai butirannya di sini," katanya
Tambah Khalid, pihaknya akan membuat pertuduhan di mahkamah jika mempunyai keterangan yang mencukupi untuk berbuat demikian.
"Jika tidak cukup keterangan, kita akan ambil tindakan displin," katanya.