Pensijilan halal: Perlu ada kajian lebih mendalam, menyeluruh - PRESMA
Ridauddin Daud
September 10, 2024 22:24 MYT
September 10, 2024 22:24 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan mewajibkan pensijilan halal kepada semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol memerlukan kajian lebih dalam dan menyeluruh.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, kerajaan harus menyuntik kesedaran dan galakan kepada pemegang taruh terlebih dahulu sebelum mewajibkan pelaksanaan tersebut.
Menurutnya, PRESMA secara prinsipnya mengalu-alukan cadangan tersebut namun mewajibkan terus tanpa dikaji lebih mendalam dikhuatiri bakal memberi masalah kepada pengusaha restoran yang tidak mempunyai modal besar.
“Umum mengetahui, hampir keseluruhan restoran peniaga Melayu di Malaysia menyajikan makanan halal tetapi majoriti daripada mereka belum memiliki sijil halal.
“PRESMA mencadangkan supaya sesi libat urus terutama bersama peniaga kecil bumiputera perlu diadakan terlebih dahulu.
“Ia adalah untuk kita memahami cabaran yang dihadapi peniaga dari sudut kekangan kewangan susulan kos yang tinggi untuk proses permohonan dan pematuhan pensijilan halal,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, beliau amat yakin tiada pengusaha restoran yang menyediakan makanan halal dengan sengaja tidak mahu melakukan permohonan pensijilan halal.
Jelasnya, pengesahan status halal oleh JAKIM pastinya memberikan keyakinan kepada seluruh pelanggan mereka malah reputasi agensi itu turut mendapat kepercayaan di peringkat antarabangsa.
Sebarang usaha dan cadangan memberikan kesedaran kepada pengguna tentang makanan halal dan berkualiti wajib diberi dukungan penuh demi kebaikan seluruh masyarakat Islam serta rakyat Malaysia amnya.
Begitupun, katanya, pertimbangan melaksanakan sesuatu dasar inklusif perlulah mengambil kira persediaan ekosistem dan tidak membebankan para peniaga yang mengendalikan perniagaan dalam skala kecil.
“PRESMA juga berharap tiada pihak yang cuba untuk menangguk di air yang keruh dengan mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini untuk melaga-lagakan rakyat melalui permainan sentimen bangsa dan agama.
“Perbincangan mendalam mengenai isu ini boleh kita lakukan dengan berlapang dada menerima pelbagai perspektif tanpa sebarang bentuk provokasi melampau,” katanya.