Pensijilan halal: Kertas siasatan ke atas Teresa Kok sudah diserahkan kepada AGC - KPN

Umavathi Ramayah
September 12, 2024 16:06 MYT
Menurut Razarudin, pihaknya sudah melengkapkan siasatan dengan memanggil saksi-saksi yang berkaitan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataannya mengenai pensijilan halal sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Khamis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Astro AWANI berkata, pihaknya sudah melengkapkan siasatan dengan memanggil saksi-saksi yang berkaitan.
“Kita sudah lengkapkan siasatan dan kertas siasatan dihantar ke AGC hari ini (Khamis) untuk tindakan lanjut,” katanya pada Khamis.
Razarudin sebelum ini berkata, setakat pukul 12 tengah hari Selasa lalu, polis menerima 50 laporan polis di seluruh negara berhubung kenyataan pensijilan halal oleh Naib Presiden DAP itu.
Selasa lalu, Teresa Kok hadir di ibu pejabat polis Bukit Aman pada pukul 9.42 pagi untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya berkait isu sijil halal.
Beliau diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Pada 8 September lalu, Razarudin, berkata polis membuka kertas siasatan ke atas Teresa Kok selepas pihaknya menerima laporan berhubung kenyataannya membabitkan sijil halal.
Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyentuh isu agama.
Seksyen itu katanya memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Teresa Kok juga disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan berita yang mampu menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mengandungi kenyataan jelik," ujarnya.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Sehari kemudian Teresa Kok mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.
Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.
#isu sijil halal #Teresa Kok #Razarudin Husain #Ketua Polis Negara #kertas siasatan #Pejabat Peguam Negara
;