Pensampelan PATI di depoh tahanan sedang dilakukan - Ismail Sabri
Harits Asyraf Hasnan
Mei 22, 2020 15:03 MYT
Mei 22, 2020 15:03 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang dalam proses mengambil sampel semua pendatang asing tanpa izin (PATI) di dua depoh tahanan iaitu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Semenyih, Selangor.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pensampelan itu melibatkan hampir 3,000 individu yang turut merangkumi petugas di dua depoh tersebut.
“Kes itu melibatkan PATI yang ditangkap sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selepas itu masuk pula PATI dari PKP Diperketatkan (PKPD) Masjid India.
“Di depoh, mereka bukan duduk sebilik seorang, mereka tinggal di dorm... mereka tinggal beramai-ramai.
“Jadi keadaan itu (menyebabkan) berlaku jangkitan atau penularan dari salah seorang daripada mereka yang akhirnya merebak,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, mereka yang didapati positif akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Malah jelas Ismail Sabri, bagi mana-mana depoh tahanan PATI yang didapati mempunyai kes positif, semua petugas diarah memakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap bagi mengelakkan jangkitan.
#Bukit Jalil
#depoh tahanan PATI
#ismail sabri yaakob
#jabatan imigresen
#Kementerian Kesihatan
#koronavirus
#pati
#tangkap pendatang asing