Penoreh mengaku tikam tuan rumah minta tunggakan sewa

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 19, 2024 12:30 MYT
Mohd Shah Rizal dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
SUNGAI SIPUT: Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Isnin atas tuduhan menikam tuan rumahnya yang datang meminta tunggakan sewa, Khamis lalu.
Tertuduh, Mohd Shah Rizal Yang, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.
Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera dengan menggunakan sebilah pisau ke atas seorang lelaki berumur 44 tahun, kira-kira jam 11 pagi 15 Ogos lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin di samping perlu melapor diri di balai polis berhampiran, dua minggu sekali.
Mahkamah turut menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan perubatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. S. Vitthiyeswary manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.
Terdahulu, media melaporkan pertengkaran mengenai tunggakan wang sewa rumah dipercayai menjadi punca seorang lelaki cedera ditikam dalam kejadian di Kampung Lasah.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, ekoran tunggakan sewa yang banyak, mangsa telah meminta lelaki itu agar mengosongkan rumah berkenaan.
#kes tikam #tuan rumah #penyewa rumah #Sungai Siput