Penoreh getah warga Indonesia dikhuatiri lemas jatuh sungai
Aida Aziz
Ogos 16, 2020 05:37 MYT
Ogos 16, 2020 05:37 MYT
Seorang penoreh getah warga Indonesia dikhuatiri lemas terjatuh ke dalam Sungai Perak berhampiran Kampung Padang Changkat, di sini, pada Ahad.
Mangsa dikenali sebagai Husen, 44 tahun, yang dipercayai menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dan disyaki terjatuh ke dalam sungai.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, DSP Zahiri Hassan, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 6 petang.
"Kami terima makluman dari orang awam mengenai sebuah motosikal ditinggalkan di tepi sungai Kampung Padang Changkat berdekatan surau.
"Selipar dan barang-barang peribadi serta kunci motosikal masih ada di motosikal itu, disyaki penunggang motosikal terjatuh ke dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Sementara itu, katanya majikan mangsa turut mengesahkan motosikal itu digunakan oleh mangsa dan mendakwa pekerjanya mengalami masalah depresi (tekanan) sebelum ini.
"Majikan berumur 66 tahun itu memberitahu mangsa mengalami depresi dan sering berkata hendak pulang ke kampung halamannya di Lombok,Indonesia.
"Majikannya telah pergi ke lokasi tersebut (sungai) dan mengesahkan motosikal dan barangan peribadi semuanya milik mangsa, termasuk selipar yang ditinggalkan di tepi sungai," ujarnya.
Zahiri menambah, pihaknya telah mengaktifkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian yang turut dianggotai pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam.
Katanya, usaha mencari dan mengesan mangsa ditangguhkan memandangkan keadaan telah gelap. Ia akan disambung semula pukul 9 pagi ini.
#barangan peribadi
#bomba
#depresi
#jatuh sungai
#kampung halaman
#kampung padang changkat
#Kuala Kangsar
#Lombok
#majikan
#motosikal
#penoreh getah
#polis
#selipar
#Sungai
#sungai perak
#tekanan
#warga Indonesia
#Zahiri Hassan