Penoreh getah terlepas hukuman gantung sampai mati
Azee Shafy
Mac 29, 2023 17:10 MYT
Mac 29, 2023 17:10 MYT
TEMERLOH: Seorang penoreh getah melahirkan rasa kesyukuran selepas Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini melepas dan membebaskannya dari hukuman gantung sampai mati kerana didakwa mengedar dadah jenis kanabis, tiga tahun lalu.
Marzuki Yusof, 57, sebelum itu didakwa mengedar dadah dadah jenis kanabis seberat 271.2 gram (g) mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di sebuah kebun getah, Kampung Mela, di Kuala Lipis pada 12 Jun 2019 pada 11 pagi.
Sementara itu, tertuduh turut berdepan dengan pertuduhan memiliki dadah jenis monoacetylmorphine seberat 0.18 gram, serta heroin seberat 0.10 gram pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Mengikut pertuduhan, bagi kedua-dua kesalahan ini, beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagaimanapun, Hakim Roslan Mat Nor memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Marzuki bagi kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwa raya gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Tertuduh diwakili peguam, Datuk Bob S. Arumugan.
Terdahulu, pendakwaan dilakukan pada 20 April 2020, sementara perbicaraan pula bermula pada 28 September 2021 dengan menampilkan enam orang saksi pendakwaan.
Marzuki yang ditemui di luar mahkamah melafazkan rasa kesyukuran selepas mendengar keputusan hakim.
Katanya, Ramadan kali ini membawa seribu rahmat kepadanya apabila dia dibebaskan setelah dipenjarakan lebih tiga tahun.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang membantu dan menyokong saya selama ini. Saya tidak sangka dapat bersama keluarga sambut Ramadan dan Syawal tahun ini.
"Apa yang berlaku ini, akan saya jadikan satu pengajaran buat diri sendiri," ujarnya.
Kakaknya, Hamidah Yusof, 59, berkata, tiada apa dapat diungkapkan melainkan menadah tangan tanda kesyukuran kerana adiknya telah bebas dari pertuduhan itu.
"Setiap hari saya berdoa agar dia (Marzuki) dibebaskan, dan sebenarnya saya langsung tidak menyangka keputusan hakim memihak kepada adiknya itu.
"Keputusan hari ini adalah sangat dinanti-nantikan kami sekeluarga, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini. Akhirnya kami dapat bersama semula," katanya.