Penoreh getah cedera parah diserang lotong
Bernama
Februari 10, 2017 07:48 MYT
Februari 10, 2017 07:48 MYT
Seorang lelaki cedera parah di paha kanan selepas digigit seekor lotong ketika sedang menoreh di kebun getah miliknya di Kampung Kubang Palas, Padang Sanai di sini, pagi Jumaat.
Ghazali Ismail, 59, berkata kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi ketika dia sedang menoreh seorang diri di kebun yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya sebelum didatangi sekumpulan kera dari kawasan hutan berdekatan.
"Dalam kumpulan kera itu terdapat seekor lotong jantan dewasa di atas tanah, manakala kera berada di atas pokok dan saya ingat ia perkara biasa dan tak hiraukan haiwan itu.
Tiba-tiba lotong setinggi 0.4 meter itu menerkam kaki saya. Berlaku pergelutan dan saya tendang dan pukulnya dengan pisau penoreh, tapi ia sempat gigit paha kanan saya sampai seluar jeans berlubang," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Akibat kejadian itu, isi paha kanan Ghazali terkoyak dan beliau terpaksa menahan kesakitan kira-kira 20 minit sambil menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya sebelum dibawa ke Hospital Kuala Nerang (HKN).
Menurut Ghazali, kejadian serangan lotong itu bukanlah pertama kali berlaku di kawasan berkenaan kerana sebelum ini empat orang penoreh pernah diserang haiwan itu hingga menyebabkan kecederaan.
"Saya berharap pihak PERHILITAN dapat mengesan dan menangkap lotong ini kerana ia sangat berbahaya kerana bertaring dan (gigitannya) berbisa terutama kepada wanita dan kanak-kanak," kata Ghazali.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Muhammad Ali Che Man ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.09 pagi semalam.
"Spesies yang dimaklumkan setakat ini ialah lotong dan saya telah arahkan pasukan dari Hulu Muda Gubir untuk menjalankan proses mengesan haiwan tersebut," katanya.-- Bernama