Penonton lumba haram boleh dikenakan tindakan - Polis

Astro Awani
Julai 20, 2015 20:54 MYT
Kehadiran penonton di sepanjang jalan seperti memberi dorongan kepada penunggang motosikal untuk melakukan aktiviti lumba haram termasuk mempamerkan aksi berbahaya di jalan raya. - Gambar hiasan
Polis Terengganu tidak akan berkrompromi dengan samseng jalanan dan penonton yang berkumpul di sepanjang jalan menyaksikan aksi kumpulan lumba haram.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar berkata kehadiran penonton di sepanjang jalan berperanan mendorong serta merangsang aktiviti lumba haram dengan mempamerkan aksi berbahaya.
Menurutnya, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap kepada mereka yang menonton serta penunggang yang melakukan aksi di jalanan.
Katanya dalam operasi yang dijalankan, pihaknya telah menahan sebuah kereta jenis Proton Wira bersama pemandu dan empat penumpang yang berusia 16 hingga 26 tahun.
"Penonton inilah yang menjadi 'sumber inspirasi' mat-mat rempit ini. Kalau kita pastikan tidak ada penonton, mereka itu tidak akan berlumba.
"Kita dapati kehadiran penonton di sepanjang jalan seperti memberi dorongan kepada penunggang motosikal untuk melakukan aktiviti lumba haram termasuk mempamerkan aksi berbahaya di jalan raya," ujar Idris.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi membanteras samseng jalanan, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.
Menurutnya, tindakan di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bakal dikenakan kerana menghalang kelancaran lalu lintas.
Beliau berkata, pihaknya akan menggandakan operasi membanteras kegiatan haram berkenaan secara berterusan khususnya pada malam minggu.
Dalam pada itu, seramai 29 orang ditahan dengan 15 saman dikeluarkan kepada samseng jalanan dalam operasi yang bermula pada pukul 3 pagi dan berakhir pukul 7 pagi tadi.
Daripada jumlah itu, empat lelaki yang berusia 17 hingga 26 tahun diberkas kerana menunggang di bawah pengaruh dadah dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis metamphetamine.
Idris berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kegiatan ini didalangi dan ditaja individu yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan kegiatan merempit serta lumba haram di daerah ini.
"Modus operasi mat-mat rempit ni telah berubah. Apa yang kita perhatikan sejak akhir-akhir ni mereka keluar pada waktu Subuh. Dari jam 3-4-5 sampailah ke jam 6.30 pagi ataupun 7 pagi.
"Sebelum ini mereka keluar pada waktu tengah malam, sekitar jam 11 malam, 12 tengah malam atau 1 pagi," ujarnya.
Tambah Idris, pihak polis sedang menyiasat perkara terbabit dan mengenal pasti mereka yang terlibat serta dalang di sebalik kegiatan haram itu.
Jelasnya, tindakan kumpulan berkenaan yang berkumpul dengan lebih 1,000 motosikal di jalan raya mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
#Idris Abd Rafar #Kuala Terengganu #lumba haram #mat rempit
;