Penolong penyelia stor TLDM Lumut didakwa pecah amanah lebih RM700,000
Bernama
Mac 10, 2017 14:44 MYT
Mac 10, 2017 14:44 MYT
Seorang penolong penyelia Stor Bulk Fuel Installation (BFI) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan pecah amanah membabitkan penyaluran diesel bernilai RM702,000 tahun lepas.
Rosdan Ismail, 37, yang bertanggungjawab ke atas aktiviti penyaluran diesel dari kargo kapal MT Nautica Johor Bahru ke tangki minyak BFI 1 dan BFI 2 didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu bersama-sama ketua jurutera kapal itu Dudhy Ardhyanto.
Bagi pertuduhan pertama, Rosdan didakwa dengan sengaja membenarkan Dudhy menyimpan kira-kira 200,000 liter diesel bernilai RM328,000 (berdasarkan harga pasaran semasa kesalahan) di dalam tangki Kapal MT Nautica Johor Bahru tanpa disalurkan ke tangki BFI 2 di depot bantuan pangkalan TLDM pada 22 Sept 2016.
Dia juga didakwa sengaja membenarkan Dudhy menyimpan kira-kira 200,000 liter diesel bernilai RM374,000 di dalam tangki kapal sama tanpa disalurkan ke tangki minyak BFI 1 di tempat yang sama pada 3 Dis 2016.
Rosdan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Norashima Khalid membenarkan Rosdan diikat jamin RM15,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasportnya diserah kepada mahkamah dan menetapkan 11 April untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Dudhy yang merupakan warga Indonesia mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Rosdan, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebat dan denda.
Mahkamah menetapkan 11 April untuk mendapatkan jurubahasa dan jatuh hukum terhadap Dudhy.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sally Chay Mei Ling manakala Rosdan diwakili peguam N.P Ramachandran.
-- BERNAMA