Penolong Pengarah JPN maut dilanggar
Vivi Sumanti
Julai 15, 2022 12:30 MYT
Julai 15, 2022 12:30 MYT
KOTA BHARU: Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan maut dilanggar sebuah kereta di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Kala, di sini, tengah hari semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, ACP Mohd Rosdi Daud dalam kenyataan hari ini, mangsa dikenali sebagai Nik Mohd Hissham Mohamed Nor, berusia 45 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 11.30 pagi sewaktu mangsa menunggu untuk melintas jalan di hadapan Sekolah Padang Kala, di sini.
"Mangsa dikatakan menunggu di bahu jalan di hadapan SK Padang Kala untuk ke rumah sepupunya yang terletak di seberang jalan.
"Menurut keterangan saksi, mangsa yang berada di bahu jalan itu dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah belakang yang dipandu seorang pemuda berusia 25 tahun.
"Kereta yang dipandu pemuda itu telah termasuk ke bahu jalan lalu melanggar mangsa yang berada di bahu jalan.
"Mangsa diseret sejauh 29 meter ke bahu jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Mohd Rosdi berkata pemandu kereta berkenaan memiliki lesen L dan hasil ujian air kencing negatif dadah.
Nahas dipercayai disebabkan kecuaian pemandu yang tidak berhati-hati dan berhemah hingga menyebabkan berlakunya kemalangan dan kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan
#Sekolah Kebangsaan Padang Kala
#Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh
#Nik Mohd Hissham Mohamed Nor