Penolong pegawai seni bina dipenjara sehari, denda RM20,000 terima rasuah

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 24, 2021 12:22 MYT
Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Ahmad Zahari Abdul Hamid membuat keputusan itu terhadap Zamira Juneed, 38, selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan dibacakan terhadapnya.
BUTTERWORTH: Penolong Pegawai Seni Bina Jabatan Konservasi Warisan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 selepas didapati bersalah menggunakan kedudukannya untuk meluluskan permohonan tukar guna tanah enam tahun lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Ahmad Zahari Abdul Hamid membuat keputusan itu terhadap Zamira Juneed, 38, selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menerima rasuah berjumlah RM16,800 daripada lima syarikat sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses permohonan tukar guna tanah daripada kediaman kepada hotel serta proses pengubahsuaian bangunan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Bagan Luar, Butterworth antara 14 Januari 2015 hingga 22 September 2016.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini dan Mohd Azlan Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, dalam rayuannya, dia memohon maaf atas kekhilafannya dan memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya.
Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana tindakannya itu telah mencemarkan imej penjawat awam.
#penjawat awam #Pegawai Seni Bina #Jabatan Konservasi Warisan #Majlis Bandaraya Pulau Pinang #Rasuah #pulau pinang #Mahkamah Sesyen #hotel #syarikat