Penolong Pegawai Perubatan direman, dipercayai terima suapan daripada ejen pengurusan jenazah

Azee Shafy
Februari 8, 2023 06:52 MYT
Seorang Penolong Pegawai Perubatan dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh oleh pegawai SPRM bagi perintah reman membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan antara tahun 2021 hingga 2022. - Astro AWANI
TEMERLOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki berusia 57 tahun kerana disyaki meminta dan menerima suapan sebanyak RM17,859 daripada ejen-ejen pengurusan jenazah bagi mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di sebuah hospital, di sini.
Lelaki itu yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan di Unit Perubatan Forensik di sebuah hospital telah ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh, pada Selasa.
Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 Febuari 2023 bagi membantu siasatan berkaitan kes terbabit.
Dia yang berpakaian lokap SPRM berwarna jingga tiba di perkarangan mahkamah sekitar pukul 11.30 pagi tadi.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohamed Shah Reza Noot Azman bagi membantu siasatan mengikut peruntukan Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Berdasarkan sumber, suspek dipercayai telah menerima suapan sebanyak RM17,859.00 sekitar tahun 2021 hingga 2022.
#terima suapan #ejen pengurusan jenazah #SPRM #temerloh