Penolong pegawai perubatan bakal diberi kuasa keluar preskripsi ubat asas - Dr Dzulkefly

Umavathi Ramayah
Mac 10, 2025 15:45 MYT
Dr Dzulkefly berkata, pelaksanaan itu akan dimuktamadkan melalui satu pekeliling khusus yang bakal dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan dalam masa terdekat. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Penolong pegawai perubatan (PPP) akan diberikan kuasa untuk mengeluarkan preskripsi bagi ubat-ubatan asas dalam rawatan penyakit ringan.

Ringkasan AI
  • Penolong pegawai perubatan (PPP) akan diberi kuasa untuk mengeluarkan preskripsi bagi ubat-ubatan asas dalam rawatan penyakit ringan.
  • Pelaksanaan ini tidak memerlukan pindaan kepada mana-mana akta, termasuk Akta Racun 1952, dan akan dimuktamadkan melalui pekeliling khusus.
  • Inisiatif ini bertujuan memperkukuh akses kesihatan di kawasan luar bandar dan mengurangkan bebanan doktor dalam mengendalikan kes-kes ringan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan itu akan dimuktamadkan melalui satu pekeliling khusus yang bakal dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan dalam masa terdekat.
"Bagaimanapun, ia tidak memerlukan sebarang pindaan kepada mana-mana akta, termasuk Akta Racun 1952.
"Ini sedang dalam perancangan kami dan Ketua Pengarah Kesihatan akan keluarkan pekeliling (nanti) mengenainya," katanya pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Kebangsaan di Hospital Tunku Azizah, di sini, pada Isnin.
Menurut Dzulkefly, pelaksanaan itu hanya terhad kepada PPP yang menjalankan pemeriksaan pesakit di klinik kesihatan dan klinik komuniti, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak.
"PPP juga dihadkan untuk mengeluarkan preskripsi bagi rawatan ringan sahaja seperti demam, cirit-birit dan sakit tekak, yang melibatkan kategori ubat C dan C+," jelasnya.
Langkah itu, kata beliau, dilihat sebagai satu inisiatif bagi memperkukuh akses kesihatan di kawasan luar bandar serta mengurangkan bebanan doktor dalam mengendalikan kes-kes ringan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan bahawa pekeliling berkenaan akan dikeluarkan, namun tarikh pelaksanaannya masih belum ditetapkan.
"Ya, ia akan dikeluarkan secara dalaman dan melibatkan semua PPP," katanya.
#Penolong Pegawai perubatan #preskripsi ubat #Kementerian Kesihatan #Sabah dan Sarawak
;