Penolong Pegawai Pendidikan Daerah ditahan SPRM

Astro Awani
Januari 16, 2019 18:29 MYT
SUSPEK ditahan kerana meminta rasuah sebagai dorongan meluluskan tuntutan tugas pegawai keselamatan - Foto fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan seorang Penolong Pegawai Pendidikan Daerah bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan berjumlah RM2,000, pada Rabu.
Menurut sumber, lelaki berusia 43 tahun tersebut ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Port Dickson pada pukul 3.10 petang selepas hadir memberi keterangan.
Kata sumber itu, suspek telah meminta wang rasuah berjumlah RM2,000 daripada seorang pengurus syarikat kawalan keselamatan sebagai dorongan untuk meluluskan tuntutan tugas pengawal keselamatan bagi bulan Oktober 2017.
Difahamkan, pengurus syarikat terbabit telah pun memasukkan wang tersebut ke dalam akaun peribadi suspek.
Tambah sumber lagi, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Port Dickson pada Khamis.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Hairuzam Mohmad Amin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.
#Mahkamah Majistret #Negeri Sembilan #Penolong pegawai pendidikan daerah #SPRM
;