Penolong juruterbang antara kes baharu COVID-19 di Sarawak

Syafik Shukri Jalil
Disember 31, 2020 17:44 MYT
Kes 1116 melibatkan seorang penolong juruterbang sebuah syarikat penerbangan serantau yang mengendalikan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah, Labuan dan Sarawak. FOTO: Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seorang penolong juruterbang syarikat penerbangan serantau yang mengendalikan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah, Labuan dan Sarawak antara kes terbaharu COVID-19 di Sarawak.
Kes 1, 116 itu dilapor melakukan ujian saringan secara berjadual dan kali terakhir menjalaninya pada 14 Disember 2020 dan disahkan negatif.
Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis, kes mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta pada 29 Disember 2020 kerana mengalami sakit tekak dan disahkan positif COVID-19 sehari selepas itu.
“Siasatan mendapati kes pernah melakukan penerbangan bermalam, pergi dan balik ke Kota Kinabalu dari Miri pada 21, 24 dan 26 Disember 2020 sebelum mengalami simptom pada 28 Disember 2020.
“Pada 28 Disember 2020, kes juga dilapor melawat beberapa premis makanan dan pusat membeli belah di sekitar Bandaraya Miri,” kata kenyataan itu.
Justeru pengesanan kontak rapat kepada kes ini sedang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri kerana kes dilaporkan berada di beberapa lokasi termasuk Miri, Bario, Lawas dan Ba’Kelalan di antara 28 sehingga 30 Disember 2020.
Sementara itu, kes 1,117 melibatkan warga tempatan yang tiba dari Kuala Lumpur pada 27 Disember 2020 yang pernah bekerja di Johor bermula Januari tahun ini dan di Pulau Pinang bermula 21 sehingga 24 Disember 2020.
Sejurus tiba, kes dimasukkan ke pusat kuarantin hotel bagi menjalani kuarantin wajib 10 hari sebelum sambungan empat hari di rumah.
Bagaimanapun kes disahkan positif COVID-19 pada 31 Disember 2020 selepas menjalani ujian saringan pada 29 Disember 2020.
Tambah JPBN Sarawak dalam kenyataannya, berdasarkan siasatan awal, kes ini berkemungkinan mendapat jangkitan semasa berada di Johor atau Pulau Pinang.
Untuk itu, pengesanan kontak rapat dan kontak sosial kepada kes ini sedang giat dilakukan.
#COVID-19 di Sarawak #jumlah kes positif di Sarawak #kes import COVID-19 di Sarawak #kes baharu di Sarawak #JPBN Sarawak
;