Penolong jurutera Pejabat Daerah Bagan Datuk ditemui maut
Nazialita Geynna Maharan
Februari 6, 2018 17:29 MYT
Februari 6, 2018 17:29 MYT
Seorang penjawat awam ditemui maut di rumah sewanya di Taman Sejati, dekat sini, pada Isnin.
Dalam kejadian sekitar 4 petang itu, mangsa, Ahmad Marwaan Mohd Noor, 30 tahun, yang bekerja sebagai Penolong Jurutera, ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri di halaman rumahnya oleh orang awam yang kemudian menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar pukul 4.56 petang.
“Pihak polis telah ke lokasi berkenaan dan menemui mayat mangsa yang terbaring di halaman rumah dengan berpakaian seluar jeans. Pintu pagar serta pintu utama juga dalam keadaan terbuka.
“Berdasarkan pemeriksaan, tiada barang mangsa yang didapati hilang di rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.
Menurut Marzukhi, mangsa yang belum berkahwin merupakan seorang kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Bagan Datuk dan menyewa bersama rakannya di rumah terbabit.
Tambahnya, mangsa masih dalam keadaan sedar sewaktu rakan-rakannya keluar bekerja dan telah mengalami sakit selama beberapa hari.
“Mangsa juga telah beberapa hari tidak turun bekerja kerana sakit dan bedah siasat di Hospital Teluk Intan mengesahkan punca kematian adalah radang paru-paru,” ujarnya lagi.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#Ahmad Marwaan Mohd Noor
#mangsa
#mati
#mati mengejut
#mayat
#penjawat awam
#polis
#rumah
#Teluk Intan