Penjualan tiket Coldplay: RUU antiulat tiket akan diteliti - Fahmi
Hasimi Muhamad
Mei 23, 2023 13:00 MYT
Mei 23, 2023 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti untuk mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan antiulat tiket dalam masa yang terdekat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai peneraju.
Jelas beliau, undang-undang tersebut dilihat penting pada waktu ini dalam usaha menangani masalah ulat tiket yang wujud sejak sekian lama.
“Saya telah bincang dengan Datuk Seri Salahuddin Ayub memang pada waktu ini di Malaysia kita belum ada undang-undang yang bersifat anti ulat tiket dan oleh sebab itu kita akan teliti bersama dengan kementerian lain yang mungkin menganjurkan aktiviti, program yang ada aspek penjualan tiket sama ada secara dalam talian atau tidak ada.
“Jadi penting untuk melihat apa peruntukan undang-undang yang boleh diwujudkan untuk mengelak masalah ulat tiket ini daripada berulang di masa depan,” katanya pada sidang media berkaitan penjualan semula tiket konsert Coldplay dengan harga tidak munasabah di Parlimen pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata kebanyakan kes ulat tiket berlaku bukan hanya melibatkan konsert besar, sebaliknya turut melibatkan pertandingan bola sepak dan sambutan sesuatu perayaan.
“Jadi kita akan teliti kesesuaian, pengalaman negara luar juga diambil kira.
"Kita akan cuba tidak lama dari sekarang, pertemuan pada waktu ini kita nak mula proses siasatan selepas itu dapatannya akan membantu kami merangka perbincangan dengan agensi dan kementreian lain untuk meneliti RUU berkaitan," katanya lagi.
Sementara itu, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,
berkata, sebanyak 28 aduan tidak rasmi berkaitan penjualan semula tiket konsert Coldplay telah diterima.
Katanya, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti individu di sebalik penjualan semula tiket berkenaan bagi melihat jika berlaku perlanggaran sebarang bentuk undang-undang.
“Sekiranya mangsa itu benar-benar ada bukti datanglah kepada KPDN dan kita akan siasat e-Tiket tidak keluar lagi kalau ada penjual kata sudah keluar maka ia adalah penipuan maka datanglah kepada KPDN,” tambah beliau.