Penjualan rokok elektronik perlu pendekatan perundangan lebih serius - IKATAN
Bernama
Jun 7, 2024 04:40 MYT
Jun 7, 2024 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil pendekatan perundangan yang serius ke atas penjualan produk merokok khususnya rokok elektronik kepada golongan muda, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN) Tan Sri Lee Lam Thye.
Selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang diwartakan Februari lepas, beliau dalam kenyataan berkata usaha itu perlu memandangkan terdapat peningkatan peratusan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja dari 2017 hingga 2024 berdasarkan laporan media bertajuk 'Peratusan Remaja Merokok Menurun' bertarikh 4 Jun lepas.
"Sepertimana yang dilaporkan, peratusan remaja berumur lingkungan 13 tahun hingga 17 tahun yang menggunakan rokok konvensional menurun kepada 6.2 peratus pada 2022 berbanding 13.8 peratus pada 2017.
"Daripada angka tersebut wujud pula trend membimbangkan bagi golongan ini dalam kategori rokok elektronik apabila berlaku peningkatan dari 9.8 peratus pada tahun 2017 hinggalah ke 14.9 peratus pada tahun 2022," katanya.
Beliau berkata isu ini sangat serius memandangkan rokok elektronik mengandungi pelbagai perisa seperti vanila, kopi dan buah-buahan yang menjadi kegemaran golongan muda terutamanya pelajar sekolah.
Justeru, Lee mencadangkan supaya penjualan alat rokok elektronik dihadkan memandangkan rokok jenis itu mudah didapati dan dijual secara terbuka.
"Bukan sahaja di tempat tertentu malah ia senang didapati bahkan boleh diperolehi di kedai makan serta di tempat awam. Apa yang paling penting penjualan rokok secara terbuka perlu dihadkan. Kita ingin melahirkan generasi baru bebas asap rokok tanpa mengira rokok elektronik mahupun rokok konvensional.
"Untuk mencapainya, kita harus mengubah pandangan anak muda terhadap apa jua asap yang dihembus dari mulut melalui paru-paru adalah pembunuh senyap jika tidak dibendung dengan wajar," katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata akta yang diluluskan Dewan Negara pada Disember tahun lepas itu dijangka akan dikuatkuasakan bulan ini sebagai langkah menangani peningkatan penggunaan rokok elektronik khususnya dalam golongan muda.
-- BERNAMA