Penjualan, promosi arak tanpa alkohol secara terbuka perlu dihentikan

Bernama
Julai 14, 2019 04:00 MYT
MOHAMAD RAIMI: Jika kita tahu syarikat pengeluar sesuatu minuman itu adalah pengeluar arak, maka jauhilah. - Gambar fail
Sebarang promosi serta penjualan arak atau bir tanpa alkohol secara terbuka perlu dihentikan, kerana dikhuatiri memberi impak negatif pada masyarakat, khususnya anak muda.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Mohamad Raimi Ab Rahim berkata penjualan minuman seumpama itu juga tidak sesuai dibuat secara terbuka, demi menjamin kemaslahatan seluruh masyarakat.
Katanya mana-mana syarikat pengeluar minuman berkenaan, seharusnya mengambil kira aspek sensitiviti agama dalam promosi produk mereka, walaupun Malaysia merupakan negara yang majmuk.
"Sepatutnya syarikat seperti Heineken perlu lebih sensitif dalam mempromosi produk mereka. Meskipun mereka telah nyatakan bahawa sasaran penjualan minuman itu adalah remaja bukan Islam, ianya masih tidak wajar kerana mengelirukan," katanya kepada Bernama.
Mohamad Raimi mengulas demikian serta menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pada Ahad, yang menegaskan pengeluaran produk sedemikian bukan sahaja mengelirukan umat Islam, malah ia satu tindakan tidak baik.
Mengulas lanjut beliau berharap agar pihak berwajib memperkasa usaha, agar larangan penjualan produk yang haram serta syubhah atau tidak jelas hukumnya antara halal dan haram, dapat dilaksanakan di kawasan komuniti yang majoriti penduduknya ialah umat Islam.
Mohamad Raimi berkata umat Islam di negara ini turut dinasihatkan agar sentiasa menjauhi sebarang produk, khususnya minuman yang haram serta syubhah.
"Dalam senario masyarakat yang semakin mencabar dengan bermacam produk makanan dan minuman serta kaedah promosi yang menarik perhatian, sebagai umat Islam seharusnya berwaspada agar tidak mudah terpedaya.
"Paling utama jika kita tahu syarikat pengeluar sesuatu minuman itu adalah pengeluar arak, maka jauhilah. Penjualan produk dengan nama bir tanpa alkohol sememangnya amat mengelirukan," tambahnya dengan harapan agar promosi bir tanpa alkohol itu dapat dihentikan segera.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha turut berharap agar lebih ramai di kalangan masyarakat sensitif dengan penjualan bir tanpa alkohol dengan tagline 'Now You Can' itu, kerana boleh mengelirukan.
"Khususnya kepada generasi muda, kerana tagline itu seolah-olah menyebutkan bahawa dahulu tak boleh tapi kerana sekarang tiada alkohol, maka sekarang boleh," katanya.
MBM turut menggesa agar arak-arak murah tidak lagi dijual di kedai-kedai serbaneka, kerana dikhuatiri akan mudah dibeli dan diminum oleh sesiapa sahaja.
"Kita tidak mahu anasir negatif mempengaruhi generasi muda. Kita tidak mahu ia menjadi budaya dan ketagihan kepada generasi muda Islam dan bukan Islam. Arak sepatutnya dijual di kedai khas dan bukan dijual secara terbuka," tambahnya.
Heineken Malaysia Berhad dalam kenyataan pada Sabtu menjelaskan produk minuman yang dikeluarkan itu adalah tidak halal dan hanya disasarkan kepada yang bukan Islam berusia 21 tahun ke atas.
-- BERNAMA
#ABIM #alkohol #arak #arak murah #bir #bir tanpa alkohol #generasi muda #Halal #haram #Heineken #Jufitri Joha #kemaslahatan masyarakat #majlis belia malaysia #mengelirukan #Mohamad Raimi Ab Rahim #promosi #remaja #syubhah #Umat Islam
;