Penjualan makanan tidak berkhasiat di luar sekolah akan dipantau - Mahdzir
Bernama
Februari 23, 2017 07:39 MYT
Februari 23, 2017 07:39 MYT
Kementerian Pendidikan akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penjualan makanan kategori 'makanan dilarang' atau makanan tidak berkhasiat di luar perkarangan sekolah.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perkara itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, pihak berkuasa tempatan negeri dan Pejabat Pendidikan Negeri melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
"Kita harus pantau dan kawal pemakanan anak-anak ini sejak dari muda lagi kerana ia melibatkan masa depan mereka selain bagi mengatasi masalah obesiti.
"Tetapi yang menjadi masalahnya ialah makanan yang dijual peniaga di luar perkarangan sekolah, bila kita sebut tentang ini orang mungkin akan marah kata kita mahu tutup periuk nasi dan sebagainya.
"Kita tidak mahu mereka makan makanan yang bukan-bukan macam minuman bergas yang mana kita telah kategorikan sebagai makanan dilarang yang pada awalnya merupakan makanan di bawah kategori 'tidak digalakkan'.
"Jadi saya fikir sudah tiba masanya kita buat pemantauan dan penguatkuasaan seperti ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Dialog Profesional Menteri Pendidikan bersama peserta Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan ambilan 2017 di sini, pada Khamis.
Mahdzir berkata bagi pengawasan dan pemantauan penjualan makanan di kantin sekolah pula, setakat ini ianya masih terkawal dan makanan yang dijual mengikut kategori yang telah ditetapkan.
"Kita mahu lawatan berkala dijalankan secara berterusan ke kantin-kantin sekolah untuk pastikan para pengendali kantin mengikut garis panduan penjualan makanan yang telah ditetapkan," katanya.
Antara makanan yang dikategorikan sebagai makanan dilarang ialah gula-gula, jeruk, minuman bergas, coklat dan makanan yang berupa mainan seperti cincin, gambar, belon dan sebagainya.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata Kementerian Pendidikan sedang merangka kerja bagi mendapatkan pandangan serta idea daripada guru-guru muda mengenai Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Seramai 238 peserta menghadiri dialog selama dua jam yang antara lain membahaskan isu mengenai daya kepimpinan dalam kalangan guru besar dan pengetua sekolah, aspek pengurusan serta kemenjadian murid di sekolah.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Mahdzir Khalid
#jualan makanan di luar sekolah
#Kementerian Pendidikan
#makanan dilarang
#NBOS
#sekolah
#TN50
#Transformasi Nasional 2050