Penjualan kit ujian kendiri diperluas ke stesen minyak, jaminan harga bawah RM10 - KPDNHEP
Hasimi Muhamad
Oktober 28, 2021 17:21 MYT
Oktober 28, 2021 17:21 MYT
KUALA LUMPUR : Penjualan kit ujian kendiri COVID-19 akan diperluaskan ke pasar raya, kedai rangkaian dan stesen minyak dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata inisiatif itu bagi memudahkan lagi pengguna mendapatkan kit ujian tersebut, selain menggalakkan persaingan sihat dalam pasaran.
Selain itu katanya, kementerian turut mendapat jaminan daripada syarikat pengeluar bahawa kit berkenaan akan dijual dengan harga di bawah RM10 berbanding harga asal RM19.90 yang dijual di farmasi dan kedai ubat, ketika ini.
"Pada asalnya, kementerian bercadang untuk menentukan harga maksimum, mungkin RM15 atau RM13, namun apabila ramai pemain industri datang dan beradvokasi (perakuan) dengan kita, ada yang tawarkan untuk menjualnya di bawah RM10.
"Jika dibenarkan dijual di pasaran terbuka yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), maka mereka boleh jual dengan harga lebih murah.
"Jadi, saya yakin menerusi komitmen dan janji yang dibuat pemain industri ini dan akan dikotakan pada akhir bulan ini. Jadinya kementerian beranggapan tidak perlu tentukan harga maksimum, kita biarkan pasaran menentukan harganya," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam masa yang sama, Dewan Rakyat turut meluluskan RUU berkenaan tanpa sebarang pindaan.