Penjualan 'Android box' bakal diharamkan di Singapura

Khairunnisa Kasnoon
Januari 18, 2019 14:53 MYT
Singapura bercadang untuk meminda Akta Hak Cipta bagi mengharamkan penjualan 'Android box' yang memberi pengguna akses penstriman kandungan dari sumber yang tidak dibenarkan. - Gambar hiasan
Singapura bercadang untuk meminda Akta Hak Cipta bagi mengharamkan penjualan 'Android box' yang memberi pengguna akses penstriman kandungan dari sumber yang tidak dibenarkan.
Menurut Kementerian Undang-Undang republik itu, cadangan itu dikeluarkan selepas menjalankan kajian dan tinjauan bersama orang awam selama tiga tahun, lapor Channel News Asia.
"Ia untuk melindungi pemilik hak cipta serta menghalang peruncit dan penyedia perkhidmatan daripada mengaut keuntungan dengan memberi akses kandungan dari sumber yang tidak dibenarkan.
"Sebelum ini tiada undang-undang yang melarang pengimportan dan penjualan peranti sedemikian," kata kementerian itu.
Pada Januari 2018, dua penjual Android box di Singapura, Synnex Trading dan An-Nahl, didakwa di mahkamah atas pertuduhan melanggar hak cipta empat entiti iaitu StarHub, Singtel, Fox Networks Group dan Liga Perdana bola sepak.
November lalu, Mahkamah Tinggi Singapura mengarahkan penyedia perkhidmatan Internet di negara itu untuk menyekat akses ke aplikasi Android box yang membolehkan pengguna menstrim dan muat turun kandungan seperti filem, rancangan TV dan saluran sukan langsung.
Ini susulan usul yang difailkan di mahkamah oleh Singnet, Fox Networks Group Singapore, NGC Network Asia, Fox International Channels (US) dan The Football Association Premier League.
Di Malaysia pula, pembelian Android box tidak salah dari segi undang-undang, ia hanya salah apabila peranti itu digunakan untuk penstriman kandungan yang dipelihara di bawah Akta Hak Cipta tanpa membayar yuran langganan untuk kandungan tersebut.
Buat masa ini, penyedia perkhidmatan sedemikian yang sah di Malaysia ialah Internet Protocol Television (IPTV) seperti Astro dan HyppTV.
#android box #filem #Internet #Singapura #TV box #undang-undang
;