Penjual kuih derita angkara minyak panas

Sinar Harian
September 21, 2021 07:00 MYT
Sepanjang Siti Normah terlantar segala keperluannya disediakan oleh suaminya, Radzwann. -Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pedih di badan yang dirasakan seperti dicucuk-cucuk ribuan jarum panas menyebabkan Siti Normah Bujang tidak mahu meneruskan hidup kerana terlalu tertekan menahan kesakitan.
Lebih teruk lagi, sepanjang menjalani proses pemulihan peniaga kuih berusia 54 tahun itu tidur berlapik tilam yang dibasahi air bisa dari kulitnya.
Siti Normah terpaksa menahan derita itu akibat terkena minyak panas ketika menggoreng kuih di gerainya.
Itu antara pengalaman terpaksa dihadapi wanita berkenaan sepanjang lebih dua bulan ini selepas kedua belah kaki dan bahagian perutnya cedera parah akibat tumpahan minyak yang menggelegak pada 6 Jun lalu.
“Hanya yang merasainya sahaja tahu perasaan ini. Saya juga perlu berhadapan situasi kulit pedih yang keterlaluan dan rasa seperti terbakar sepanjang masa, setiap saat sakit itu 'datang dan pergi'.
“Luka melecur ini juga mengeluarkan air bisa menyebabkan saya sukar tidur malam kerana gatal," katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Selayang Indah di sini pada Selasa.
Menceritakan semula kejadian itu katanya, dia mengecilkan api dapur yang besar namun secara tiba-tiba kuali yang dipenuhi minyak panas itu terbalik menimpa ke arahnya.
Menurutnya, dalam keadaan terduduk dan panik dia sempat menghubungi ahli keluarga terdekat untuk meminta bantuan sebelum tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke klinik berdekatan.
Disyorkan artikel ini:
Hotel Istana Kuala Lumpur henti operasi pada 1 September
Kerajaan tumpu penguatkuasaan di Selangor, Kuala Lumpur
Kuala Lumpur City, Selangor buntu di Cheras
"Saya berniaga kuih-muih, goreng pisang, keropok dan pelbagai lagi di tapak perniagaan Selayang Indah berdekatan rumah.
"Selepas kuali terbalik saya hanya ingat saya cuba menghubungi keluarga untuk minta tolong dan ketika itu kaki dan perut sudah penuh dengan minyak. Selepas itu saya tidak ingat apa-apa lagi," kata ibu empat anak itu.
Siti Normah yang terbaring tidak sedarkan diri di gerai kuihnya itu kemudiannya dikejarkan ke klinik berdekatan oleh suaminya Radzwan Alwi, 58, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Radzwan berkata, walaupun kejadian itu menjejaskan kehidupan mereka sekeluarga namun dia bersyukur kerana kini isterinya itu semakin pulih dan berjaya melepasi tempoh sukar.
"Sepanjang dia terlantar segala keperluannya saya sediakan sebelum keluar bekerja termasuk mencuci luka, makan dan minum. Kini keadaannya semakin baik," kata pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu.
Sementara itu, nasib pasangan ini turut mendapat perhatian pemimpin kampung dan wakil rakyat termasuk Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han yang menemui Radzwan pada Selasa selepas majlis penyerahan permit berniaga kepada 17 penjaja di Selayang Indah.
*Berita asal di Sinar Harian
#Siti Normah Bujang #minyak panas #peniaga kuih #goreng kuih
;