Penjual cermin mata didakwa bantu sembunyi wang lebih RM600,000
Bernama
April 3, 2024 15:51 MYT
April 3, 2024 15:51 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang penjual cermin mata mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membantu menyembunyikan wang milik seorang lelaki lebih RM600,000, tahun lepas.
Wong Lit Ken, 28, didakwa menolong menyembunyikan atau mengalihkan wang RM626,459 kepunyaan Shahrim Mohd Akib, 70, dengan memasukkan wang itu ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama tertuduh, yang mana tertuduh mengetahui wang berkenaan bukan miliknya.
Lelaki berkenaan dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Taman Tun Dr Ismail, Brickfields antara 30 Nov hingga 21 Dis 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Tan Gin Han yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM15,000 atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Mei ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA