Penjual burger maut ketika daki Gua Musang
Muhafandi Muhamad
Februari 16, 2019 12:08 MYT
Februari 16, 2019 12:08 MYT
Seorang penjual burger maut selepas rebah dan pitam ketika mendaki Gua Batu Kapur, Gua Musang, Kelantan pada petang Jumaat.
Mangsa, Zulkifli Jusoh, 48 tahun yang tinggal di Jalan Pulai, Bandar Lama menaiki gua batu kapur yang berketinggian kira-kira lebih 300 meter itu bersama tujuh lagi rakannya yang lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, operasi menurunkan mangsa dari puncak gua berkenaan mengambil masa tiga jam.
Anuar berkata, mengikut maklumat mangsa dan rakan-rakannya mendaki gua batu kapur itu pada pukul 5 petang.
Katanya, salah seorang rakan mangsa berkata, mangsa tiba-tiba jatuh dan terus pintam tidak sedarkan diri dalam kejadian kira-kira 6.15 petang.
Tambahnya lagi, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.21 petang dan seramai 20 anggota telah digerakkan dalam operasi.
Selain pihak bomba, operasi itu turut mendapat bantuan daripada 10 anggota polis, seorang pegawai perubatan dan lima penduduk kampung.
Mangsa telah cuba diselamatkan dengan melakukan bantuan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR). Namun, pegawai perubatan yang hadir telah mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.
Mangsa berjaya diturunkan pada pukul 10.48 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis.
#bomba
#Gua Musang
#mangsa
#maut
#meninggal dunia
#Meninggal ketika mendaki
#serangan jantung
#sesak nafas